Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Azmah Haji Ahad
BERAKAS, Isnin, 2 Februari. - Keseimbangan antara peningkatan perpecahan geopolitik dan perkembangan pesat teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan ataupun Artifical Intelligence (AI) sama-sama telah membentuk landskap ekonomi global.
Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BDCB menekankan mengenai perkara tersebut semasa Economic and Investments Outlook 2026, anjuran Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), yang berlangsung di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE).
Menurut Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, ketegangan geopolitik membentuk semula kerjasama antarabangsa, meningkatkan kerentanan pasaran, dan menyumbang kepada landskap yang berpecah-belah sehingga menjejaskan sentimen pelabur, sekali gus mendorong strategi yang lebih berhati-hati dan berpelbagai.
AI juga tambah Yang Berhormat lagi, diketengahkan sebagai kuasa struktur yang berupaya meningkatkan produktiviti, kecekapan dan daya saing khususnya dalam sektor kewangan menjadikannya pemangkin kepada penyesuaian dan daya tahan jangka panjang.
Seterusnya, Yang Berhormat menekankan akan kepentingan memantau trend-trend berkenaan sambil menilai peluang dan risiko yang berkaitan dengan teliti dan menyeluruh.
"Dalam sektor kewangan, AI kini menjadi teras dalam menilai risiko, mengagihkan modal, dan menjana nilai, sekali gus meningkatkan pengurusan risiko, penilaian kredit, pengesanan penipuan, dan kecekapan operasi institusi.
"Oleh itu, penerapan teknologi baharu secara bertanggungjawab dan tadbir urus yang baik kekal kritikal. Sehubungan dengan itu, BDCB terus menggalakkan amalan yang mantap melalui penglibatan kawal selia, dialog industri dan pembangunan keupayaan dalaman bagi memastikan inovasi berkembang selaras dengan mandat kami dalam mengekalkan kestabilan kewangan dan keyakinan awam," ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya berkata, sesi berkenaan menggalakkan dialog terbuka dan telus di bawah Chatham House Rule, yang membolehkan para peserta bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini yang membentuk persekitaran ekonomi, pasaran kewangan dan proses perniagaan.
Dalam suasana ketidaktentuan yang meningkat serta saling hubung kait antara ekonomi dan pasaran tambah Yang Berhormat, penglibatan sedemikian adalah penting bagi menyokong perbincangan dasar yang bermaklumat serta pembuatan keputusan pelaburan yang berhemah.
Dalam mengakhiri ucaptamanya, Yang Berhormat menekankan bahawa kemajuan jarang berlaku tanpa tekanan. Namun, di sebalik kekangan global hari ini, wujud peluang untuk berinovasi, menyesuaikan diri, serta membina sistem ekonomi dan kewangan yang lebih berdaya tahan.